Tinta Linguistik

Tinta Linguistik

Khamis, 24 Disember 2009

Perbualan Ialah Satu Rentetan Peristiwa : Satu Kajian Kes

Abstrak
Perbualan merupakan aktiviti sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat setiap hari. Kajian ini menumpukan kajian perbualan yang berlangsung dalam kalangan pelajar perempuan Melayu di Universiti Sains Malaysia. Kajian ini mengkaji bagaimana ciri-ciri perbualan menurut teori analisis perbualan berdasarkan Levinson (1983), Mey (1993) dan Liddicoat (2007). Ciri-ciri analisis perbualan berlaku dalam perbualan tanpa disedari atau dirancang oleh penuturnya. Meskipun begitu perbualan tersebut terus berlaku. Selain itu, kajian ini mengenengahkan peranan konteks. Konteks dilihat berlaku dalam ujaran penutur. Ciri-ciri perbualan dan konteks menunjukkan bahawa perbualan oleh penutur mempunyai rentetan peristiwa.

Pengenalan

Perbualan menjadi medium interaksi manusia setiap hari untuk menyampaikan dan menerima maklumat dengan menggunakan bahasa. Pada hari ini, interaksi dalam perbualan bukan sahaja berlaku dalam bentuk lisan, malahan juga dalam bentuk tulisan terutamanya dengan penggunaan teknologi maklumat seperti Yahoo Masengger, MSN dan bentuk-bentuk perbualan yang lain. Menerusi perbualan juga, diperlihatkan penggunaan bunyi, kata dan ayat sehingga menjadikan perbualan tersebut seperti dirancang organisasinya. Penelitian tentang perbualan bukan sahaja untuk melihat kepada aspek bunyi, kata, ayat atau makna yang diujarkan oleh penutur atau pendengar, tetapi juga melihat bagaimana perbualan yang berlansung itu mempunyai strukturnya tersendiri sama ada perbualan tersebut dirancang ataupun tidak oleh mereka yang terlibat dalam perbualan tersebut.

Pernyataan Masalah
Permasalahan tentang perbualan ini dikaitkan dengan analisis perbualan. Hal ini kerana analisis perbualan bukan sahaja merupakan teori dalam pragamatik, tetapi juga menjadi peranti dalam penyelidikan kualitatif. Dalam hal ini, Babbie (2005), Liddicoat (2007) dan ten Have (2007) telah memaparkan analisis perbualan sebagai peranti penyelidikan kualitiatif. pengkajian tentang perbualan juga perlu dianalisis dalam bidang pragmatik. Tidak dapat dinafikan bahawa perbualan juga digunakan dalam bidang sosiolinguistik, terutamanya yang melibatkan bahasa bukan verbal. Misalnya, kajian yang dijalankan oleh Brookes (2003) dengan menggunakan penduduk kulit hitam bandar Gauteng di Afrika Selatan. Kajian kualitatif beliau ini memperlihatkan sebanyak 143 pergerakan yang berlaku semasa pertuturan.

Percakapan menjadi aktiviti manusia setiap hari tanpa mengira masa dan dirancang mahupun tidak. Perbualan juga tidak dihadkan penyertaannya, dan sesiapa sahaja boleh terlibat dalam perbualan. Yule memaparkan bahawa dalam perbualan terdapat aliran. Aliran ini wujud disebabkan oleh beberapa ciri seperti ciri-ciri ambil giliran, berhenti seketika, pertindihan dan jawapan.
Berdasarkan pernyataan Yule ini, pengkaji ingin melihat kebenaran tentang perbualan mempunyai aliran yang dibentuk oleh ciri tersebut telah menyebabkan berlakunya suatu rentetan peristiwa.
Oleh itu, berdasarkan latar belakang permasalahan di atas, dapatlah disimpulkan beberapa perkara yang mendorong pengkaji untuk melakukan penyelidikan tentang perbualan antaranya:
a) Kajian tentang perbualan dalam kalangan remaja perempuan Melayu belum dilakukan. Oleh itu, kajian seperti ini perlu dilakukan untuk memperlihatkan penggunaan bahasa pelajar perempuan Melayu dalam perbualan.
b) Kajian perbualan menjadi satu rententan peristiwa yang melibatkan ciri-ciri perbualan belum dilakukan.

Persoalan Kajian
Persoalan kajian ini adalah seperti berikut :
i. Mengapa ciri-ciri yang terlibat dalam perbualan sehingga mendorong rentetan peristiwa dalam perbualan?
ii. Bagaimanakah konteks memainkan peranan dalam perbualan?

Objektif Kajian
Bagi menjawab persoalan yang dikemukakan dalam 3.0, maka kajian ini dijalankan berdasarkan objektif seperti berikut :
i. meninjau ciri-ciri perbualan yang cenderong kepada berlakunya rentetan peristiwa
ii. menghuraikan peranan konteks dalam perbualan.

Kepentingan dan Sumbangan Kajian
Kepentingan dan sumbangan kajian ini adalah seperti berikut :
i. memberi maklumat baru kepada pengajaran bahasa Melayu akan datang tentang ciri-ciri perbualan yang wujud boleh menjadikan peristiwa yang dibincangkan itu berurutan.
ii. menjadi bahan rujukan kepada para penyelidik yang berminat dengan bidang linguistik terutamanya pragmatik dan sosiolinguistik yang mempunyai kaitan dengan perbualan.


Batasan Kajian
Batasan kajian ini tertumpu kepada tempat kajian, infoman dan tumpuan kajian. Huraian maklumat tersebut adalah seperti berikut :
Tempat Kajian
Kajian ini hanya dibataskan kepada sebuah universiti sahaja, iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), kampus induk. Kampus induk ini terletak di Pulau Pinang.

Informan
Pemilihan informan dalam kajian ini melibatkan empat orang pelajar perempuan Melayu Universiti Sains Malaysia. Informan yang terlibat dalam kajian ini berusia dalam lingkungan usia antara 20 hingga 23 tahun. Mereka yang terlibat dalam kajian ini merupakan pelajar tahun dua dan akhir.
Setiap informan-informan yang terlibat dilabelkan seperti berikut :
Nama Informan Label Informan
Informan 1 : Imah I
Informan 2 : Aimi A
Informan 3 : Siti S
Informan 4 : Fazilah F

Tumpuan Kajian
Kajian ini cuba menganalisis ciri-ciri yang terlibat dalam perbualan informan. Perbualan informan tersebut dirakam dengan informan tersebut telah menyedari dan bersetuju bahawa setiap perbualan tersebut dirakam (rujuk lampiran S). Rakaman tersebut berlangsung dalam durasi masa melebihi 30 minit. Durasi masa tersebut ditetapkan seperti itu, supaya tidak menganggu masa informan untuk aktiviti-aktiviti mereka yang lain. Pengkaji perlu menghormati permintaan informan tersebut. Hal ini sama seperti kajian yang dilakukan oleh Nor Shafrin Ahmad yang hanya menjalankan temu bual dalam masa 60 hingga 90 minit terhadap subjek mangsa penderaan seksual. Perjumpaan kajian juga hanya dibuat sekali di atas permintaan pihak rumah perlindungan. Tujuannya untuk melindungi subjek kajian tersebut.


Data Kajian
Data kajian yang diperoleh melalui rakaman perbualan audio oleh keempat-empat informan ketika mereka berada di Universiti Sains Malaysia. Data kajian ini dibataskan kepada perbualan mereka tanpa melibatkan bahasa-bahasa bukan verbal. Data kajian ini dikumpulkan mengikut jangka masa yang telah ditetapkan iaitu selama seminggu disebabkan oleh kekangan masa pengkaji dan pihak informan.
Kaedah Penyelidikan
Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif. Kaedah kualitatif ialah kaedah yang digunakan dalam menjalankan kajian lapangan untuk meninjau sesuatu fenomena perbualan. Pengkaji memilih menggunakan kaedah kualitatif adalah kerana kaedah ini sesuai untuk mengkaji ciri-ciri yang terdapat dalam perbualan membolehkan perbualan tersebut mempunyai rentetan peristiwa.
Hujahan ini adalah sama seperti yang dikatakan oleh Berg (2004) yang menyatakan bahawa,
“qualitative research properly seeks answers to questions by examining various social settings and the individuals who inhabit these settings. Qualitative researchers, then are most interested in how humans arrange themselves and their settings and how inhabitants of these settings make sense of their surroundings through symbols, rituals, social structures, social roles and so fourth.”

Etnografi
Etnografi merupakan satu pendekatan dalam kaedah kualitatif yang mengkaji pembinaan interaksi atau tindak tanduk manusia yang tidak dirancang berlaku setiap hari. Selain itu, etnografi juga membantu untuk mengkaji budaya dan memahami fenomena sosial dalam sesuatu budaya itu mengikut kaca mata atau perspektif masyarakat itu sendiri (Bailey, 1984; Babbie, 2005; Neuman, 2006 dan Gay, Mills dan Airasian, 2009).
Justeru, untuk melihat proses-proses dan tindak tanduk dalam perbualan hingga memperlihatkan bahawa perbualan tersebut mempunyai rentetan peristiwa, maka pengkaji berpendapat bahawa etnografi adalah kaedah yang sesuai dan bertepatan dengan teori analisis perbualan.
Dalam kajian ini, pengkaji bertindak sebagai penyelidik yang pasif dan memfokuskan kepada pengumpulan data. Hal ini kerana, menurut Gay, Mills dan Airasian (2009), jika pengkaji yang menjalankan kaedah etnografi hanya memfokuskan kepada pengumpulan data, maka pengkaji tersebut merupakan pemerhati pasif.
Dalam penyelidikan etnografi ini, pengkaji membiarkan sahaja perbualan tersebut berlangsung. Hal ini kerana, jika pengkaji terlibat bersama-sama dalam perbualan tersebut secara langsung, keempat-empat informan tersebut tidak akan berbual. Oleh yang demikian, pengkaji hanya mencatatkan pengalaman berdasarkan rakaman dan meneliti setiap rakaman perbualan tersebut boleh mencapai objektif kajian ini.

Temu Bual
Seterusnya, kajian yang digunakan ialah temu bual. Menurut Berg (2004), terdapat tiga jenis struktur dalam temu bual iaitu temu bual standard, separuh standard dan yang tidak berstruktur. Oleh itu, pengkaji memilih temu bual tidak berstruktur supaya perbualan yang dilakukan adalah tidak bersifat formal.
Temu bual telah dijalankan pada peringkat awal kajian. Tujuannya adalah untuk mendapatkan latar belakang informan, tahun pengajian, kursus pengajian dan pengalaman mereka berada di Universiti Sains Malaysia. Temu bual yang dijalankan adalah secara tidak langsung sepanjang kajian lapangan dijalankan.

Rakaman
Kaedah ketiga yang digunakan dalam kajian ini ialah rakaman. Kaedah rakaman adalah penting kerana melalui rakaman ini, pengkaji dapat mengenal pasti cir-ciri dalam perbualan informan. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh ten Have (2007) iaitu,

“In ‘pure’ CA, as originally developed, even the general setting in which the recoding were made hardly considered. Either it was left in the dark, or data source was mentioned in general term,”

Perbualan yang dirakam ini, kemudiannya ditranskripsikan. Hal ini sama seperti yang diperkatakan oleh Peräkylä (2004) iaitu :
“Transcribing the tape recording is an important and laborius task... most conversation analyst have used analouge tape for recording and storing the data, and separate textual document for transcription,”

Penganalisisan Data
Data-data yang diperoleh melalui proses rakaman ini ditranskripsikan terlebih dahulu. Data-data tersebut ditranskripsikan dengan menggunakan pendekatan Liddicoat (2007). Walau bagaimanapun, pendekatan tersebut diubah dan disesuakan mengikut kesesuaian yang terdapat dalam perbualan. Hal ini kerana, perbualan Liddicoat (2007) adalah dalam bahasa Inggeris, sedangkan perbualan kajian ini dalam bahasa Melayu.

Transkripsi ini juga bukanlah transkripsi yang menggambarkan rakaman perbualan yang sebenar. Oleh itu, simbol yang digunakan dalam dalam perbualan ini dapat membantu untuk memahami rakaman tersebut. Sehubungan dengan itu, transkripsi perbualan tersebut menggunakan trankripsi ortografi standard. Walau bagaimanapun, ortografi tersebut diubah suai supaya dapat mengambarkan ungkapan sebenar dalam perbualan. Pengkaji memilih untuk menggunakan ortografi ini supaya dapat memudahkan pembaca untuk memahami teks perbualan berbanding transkripsi International Phonetics Alphabet (IPA).

Berikut dinyatakan contoh simbol transkripsi yang digunakan dan diubah suai berdasarkan Liddicoat (2007:14-34)

: panjang
_ / italic tekanan pada satu perkataan
. tanda intonasi ke bawah
, intonasi yang menunjukkan perkataan itu belum lengkap untuk disambung, sedikit menaik
↑ nada suara menaik
↓ nada suara menurun
◦ ◦ bisikan
> < bercakap dengan cepat
< > bercakap dengan perlahan
/ / pertindihan
* * percakapan dengan bunyi di sekeliling
= dua orang bercakap bersama tanpa berehat

Jadual 1 : Transkripsi Perbualan Diubah Suai Berdasarkan Liddicoat (2007, 14-34)

Teori Kajian
Dua teori kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah analisis perbualan Levinson (1983) dan Mey (1993)
Analisis Perbualan Berdasarkan Pandangan Levinson (1983)
Levinson (1983) menjelaskan bahawa perbualan mempunyai sistem pengurusan setempat. Struktur perbualan dimulakan dengan ambil giliran. Ambil giliran berlaku apabila penutur A bercakap, berhenti akan diikuti oleh penutur B mula bercakap, berhenti dan keadaan ini berlaku seperti A-B-A-B. Dalam ambil giliran berlaku juga pertindihan (dua penutur bercakap serentak) dan kekosongan. Kekosongan ini bermakna terdapat ruang di antara penutur dan pendengar untuk tidak berbual untuk seketika.
Giliran dibentuk oleh unit yang dipanggil Unit Pembinaan Giliran atau UBG. UBG merupakan unit sintaksis seperti ayat, klausa, frasa nama dan sebagainya. UBG juga berlaku dalam bentuk pragmatik seperti intonasi yang membawa makna tertentu. Selain UBG, giliran juga dibentuk oleh satu istilah yang dipanggil sepat tempat peralihan relevan atau TPR. TPR ini bermaksud peruntukan dalam pertukaran penutur dalam perbualan.
Dalam unit giliran ini, terdapat dua komponen penting yang menunjukkan bahawa dalam ambil giliran terdapat peraturan. Peraturan tersebut terdiri daripada dua iaitu, peraturan 1 untuk peraturan ambil giliran dan peraturan 2 untuk TPR. Dalam peraturan ini, C dikenali sebagai penutur semasa, N penutur pilihan dan TPR dikenali pada akhir UGB. Peraturannya adalah seperti berikut :
Peraturan 1 – peraturan ambil giliran
a) Jika C memilih N sebagai penutur semasa, C mesti berhenti bercakap. N mesti bercakap. Peralihan ini berlaku dalam TPR pertama selepas N dipilih.
b) Jika C tidak memilih N, tiada halangan kepada penutur lain atau penutur bebas mengambil giliran. Sesiapa penutur pertama yang memulakan perbualan memperoleh giliran itu.
c) Jika C tidak dipilih oleh N, dan tiada yang penutur dalam 1(b), maka C boleh (atau tidak) meneruskan perbualan.

Peraturan 2 – digunakan untuk peruntukan TPR
a) Apabila peraturan 1 (c) digunakan oleh C, TPR 1(a) – (c) turut digunakan.
Peraturan 2 ini bermaksud, jika C meneruskan perbualan dengan tidak memilih sesiapa untuk meneruskan giliran, maka penutur-penutur lain bebas mengambil giliran untuk berbual.

Analisis Perbualan Berdasarkan Pandangan Mey (1993)
Menurut Mey, penggunaan bahasa dalam perbualan boleh dilihat daripada dua aspek iaitu isi dan gerak kerja perbualan tersebut. Gerak kerja yang dimaksudkan adalah dengan melihat urutan dalam perbualan. Kedua-dua aspek ini diteliti oleh Mey dalam membincangkan analisis perbualan.
Isi dalam perbualan yang dimaksudkan oleh Mey ialah topik yang dibincangkan oleh peserta dalam perbualan (penutur dan pendengar) dan pergerakan topik tersebut. Topik yang dibualkan oleh peserta tersebut merupakan topik yang secara nyata untuk dibualkan, mempunyai andaian, diceritakan secara tersembunyi dan topik yang melingkari topik-topik lain. Topik perbualan telah mengorganisasikan perbualan dan perbualan mengendalikan topik.
Terdapat tiga aspek penting yang menggerakkan isi perbualan, iaitu koheran, urutan (sequance) dan pasangan berdampingan. Topik yang dibualkan oleh peserta dalam perbualan pertamanya, disebabkan oleh koheran. Koheran yang menunjukkan terdapat kesinambungan dalam perbualan. Mey menyatakan bahawa koheran menekankan kepada perlakuan ilokusionari penutur dan pragmatik praandaian. Dalam pasangan berdampingan juga turut mempunyai koheran untuk menunjukkan kesinambungan peserta. Namun bukan urutan dalam perbualan memerlukan pasangan berdampinga. Ketiadaan koheran juga masih menyebabkan berlakunya giliran peserta perbualan.
Pergerakan dalam perbualan juga disebabkan oleh urutan dalam pertuturan. Urutan merupakan komponen yang penting untuk dalam perbualan kerana adanya makna pertuturan dan fungsinya. Jelas Mey lagi tentang urutan ini ialah :
Sequencing, then, clearly cannot just be a matter of a sequence of utterence, in particular, conversation is built up in a live environment
Aspek ketiga ialah pasangan berdampingan. Seperti yang dijelaskan jenis-jenis pasangan berdampingan. Ciri ini menunjukkan pertukaran peserta perbualan. Topik perbualan terganggu apabila pasangan kedua tidak berlaku dan memberi kesan dalam perbualan. Pertama, hal ini menyebabkan penutur mengulangi bahagian pasangan bahagian pertama. Kedua, pendengar seolah-olah berpura-pura yang tidak ada apa-apa berlaku dan ketiga perlakuan yang tersirat untuk menunjukkan penafian.
Aspek analisis perbualan kedua yang dikemukakan oleh Mey (1993) iaitu gerak kerja perbulan. Gerak kerja ini menunjukkan bahawa aliran dalam perbualan dicirikan oleh unit yang paling asas iaitu giliran. Beliau menekankan tempat peralihan relevan (TPR) untuk menunjukkan pertukaran dalam kalangan penutur. TRP dieksploitasi oleh penutur memulakan perbualan untuk memilih penutur berikutnya secara terus. Misalnya Now, we’d like to hear Jim’s view on this. Sebaliknya, secara tidak langsung dengan memberi peluang kepada penutur yang seterusnya. Contohnya, Any other opinions or futher comments on this matter?
Berdasarkan analisis perbualan Mey (1993), jelas penekanan terhadap analisis perbualan terdiri daripada dua ciri utama iaitu isi dan gerak kerja perbualan. Kemudian, dalam dua isi utama ini, terdapat ciri-ciri lain iaitu, koheran, pasangan berdampingan, urutan, giliran, ambil giliran, pra urutan, dan penyisipan urutan. Jelasnya, kesemua ciri-ciri tersebut telah menjadikan organisasi perbualan.

Analisis Data
Analisis Perbualan Berdasarkan Pandangan Levinson (1983)
Berdasarkan analisis perbualan mengikut pandangan Levinson (1983), giliran dibentuk oleh dua unit. Unit-unit tersebut dikenali sebagai Unit Pembinaan Giliran (UBG) dan tempat peralihan relevan (TPR). Giliran yang menggunakan UBG bermaksud giliran tersebut diungkapkan oleh unit-unit sintaksis atau tatabahasa seperti ayat, klausa, frasa nama, frasa kerja, frasa preposisi atau frasa komplemen. Aspek kedua dalam UBG ialah intonasi. Intonasi oleh penutur semasa menunjukkan bahawa giliran penutur semasa berakhir.
Unit kedua iaitu tempat peralihan relevan (TPR) dberlaku apabila TPR ini dihubungkan dengan peraturan ambil giliran dan peruntukan giliran. Keadaan perbualan yang ditunjukkan oleh UBG dan TPR ini boleh dilihat dalam contoh-contoh petikan di bawah:
Unit Pembinaan Giliran
Seperti yang dijelaskan, UBG yang berlaku dalam kalangan informan diperhatikan dalam contoh-contoh berikut :
Petikan 1
(70) I : ha: okay nak pegi ˚dup lame˚

(71) F : [berape ringgit]

(72) A : nasi tige ringgit ayam duwa ringgit ayak singgit semuwa enam ringgit

(73) F : [kita bukak pukol tujuh lima belas duwa puloh]

Petikan (1) menunjukkan bahawa dalam perbualan tersebut mengandungi UBG. UBG tersebut ialah ditunjukkan dengan ayat nasi tige ringgit ayam duwa ringgit ayak singgit semuwa enam ringgit dan UBG tersebut juga menunjukkan bahawa informan S mengambil giliran dengan menggunakan frasa nama nasi tige ringgit. Jelas ujaran tersebut merupakan unit sintaksis yang mempunyai. Mukhlis (2002) menyatakan bahawa ayat dalam unit sintaksis mempunyai enam fungsi iaitu sebagai subjek, objek langsung, objek tak langsung, komplemen subjek komplemen objek dan adverbaan. Dalam hal ini, ayat dan frasa adalah bebas konteks.
Namun dalam ujaran ayat ini mengambil peranan konteks. Liddicoat (2007), menyatakan bahawa UBG sensitif konteks. Oleh yang demikian, ayat yang diujarkan oleh informan S itu meginterpretasikan sebagai unit sintaksis, dan makna ujaran. Oleh sebab UBG mengambil kira peranan konteks, maka ujaran tersebut memberi makna informan S telah menyumbang kepada perbualan tersebut. Hal inilah yang dilihat oleh Levinson sebagai pembinaan kepada giliran yang dilaksanakan dalam unit sintaksis iaitu ayat.
Terdapat juga ujaran UBG ini, yang memerlukan peranan konteks. Hal ini boleh dilihat menerusi petikan di bawah :

Petikan 2
(128) I : chelsea lawan ape tah tapikan tak tahu pukol berape

(129) A : bukak laptop ekh semalam

(130) I : bukak

(131) F : bukak tak buat ape-ape pun

Petikan (2) di atas menunjukkan informan I dan F mengambil giliran dengan dimulakan oleh kata kerja bukak. Ujaran bukak oleh informan I dan F ini sudah cukup untuk memberi makna ambil giliran telah berlaku dalam perbualan tersebut. Ujaran oleh penutur A sebenarnya telah memberi interpretasi oleh informan I dan F untuk terlibat dalam perbualan tersebut.
Kata kerja bukak yang diujarkan oleh informan I dan F ini merupakan perlakuan perlokusionari. Apabila informan A menyatakan ujaran bukak laptop ekh semalam sebenarnya, informan A berharap bahawa rakan-rakannya dapat menjawab soalan tersebut. Ujaran oleh informan A ini adalah dalam bentuk perlakuan pengesahan. Perkataan ekh ini adalah untuk mengesahkan bahawa laptop dibuka atau tidak semalam. Levinson menyatakan bahawa UBG dalam bentuk minimum, menyebabkan ambil giliran berlaku. Walaupun bukak dalam bentuk yang paling minimum telah menyebabkan informan I dan F memperoleh giliran mereka.

UBG juga berlaku dalam bentuk intonasi. Intonasi oleh informan ini pada akhir ujarannya untuk melambangkan bahawa informan seterusnya boleh mengambil giliran. Untuk menunjukkan bahawa intonasi informan semasa berakhir, lambang-lambang dalam transkripsi tersebut digunakan. Contohnya, dalam petikan berikut :

Petikan 3
(152) I : kitelah yang kene berebut dengan diaorang

(153) S : (0.01) tak tahulah sepupu tak dapat lagi tahun lepas lagi tahun ni tahun lepas grade↑

(154) F : tapi kite tak kot: sebab kite universiti apexkan

Petikan 4
(243) S :malam tadi ila tanya: >check dengan diya punya kajian buat macam mane<

(244) I : hmmm

(245) S : macam: atas tu:: semuanya pelik pelek↓

(246) I : diya↑ buat ape↑

(247) S : akak tak ingat, tapi diya punya tajuk >point point pelek pelek habis< akak cakap gini ila lebih kurang same jekan diya banding dengan akak↓
(248) I : hmmmm

Berdasarkan Petikan 3 dan 4 di atas, didapati bahawa berlaku UBG dengan intonasi menaik dan intonasi menurun telah berlaku dalam perbualan informan. Dalam petikan 3, intonasi menaik pada kata grade, ‘memiliki ijazah’. Manakala petikan 4 pula, kata diya dan buat ape. Intonasi pada kata-kata tersebut adalah bernada tinggi. Intonasi yang meninggi ini berlaku pada akhir ujaran. Untuk ujaran diye, intonasi ini dikatakan berlaku pada pra akhir ujaran.
Selain itu, terdapat intonasi menurun oleh ujaran informan S apabila informan S menyebut diya banding dengan akak. Intonasi menurun ini juga berlaku pada akhir ujaran. Setelah itu informan berikutnya mengambil giliran untuk berbual. Levinson menyatakan bahawa UBG intonasi memberi makna bahawa penutur pilihan mengambil giliran. Jelas, bahawa setiap kali intonasi baik menaik mahupun menurun, informan seterusnya memperoleh giliran mereka.
Perhatikan bahawa, intonasi yang menaik oleh informan S dalam petikan 3, dan informan I dalam petikan 4, menunjukkan selepas mereka mengakhiri ujaran mereka, dalam masa yang seterusnya informan F dalam petikan 3 dan informan S dalam petikan 4 memperoleh giliran mereka. Barangkali pernyataan Liddicoat (2007) bahawa intuisi penutur menyebabkan mereka mengetahui bahawa giliran untuk mereka berbual. Pada akhir intonasi tersebut, setiap informan tidak menyatakan siapakah informan pilihan mereka. Sebaliknya, giliran tetap berlaku dengan diambil oleh informan F (petikan 3) dan informan S (petikan 4). Zuraidah Mat Don dan Knowles (2006) menyatakan bahawa masyarakat Melayu apabila mereka berbual, biasanya pada akhir ujaran suara mereka akan tinggi dengan diikuti perendahan nada suara. Malahan, intonasi ini menjadi penunjuk untuk penutur seterusnya bercakap tanpa adanya kekosongan seketika. Jelaslah, bahawa penekanan Levinson terhadap UBG ini menyebakan setiap ujaran oleh penutur memperoleh giliran dan perbualan tersebut berterusan untuk menunjukkan rentetan perbualan mereka.
Tempat Peralihan Relevan

Sehubungan dengan UBG ialah tempat peralihan relevan atau TPR yang menunjukkan bahawa berlakunya ambil giliran. TPR ini berlaku apabila penutur mengikut peraturan 1 dan 2 ambil giliran oleh Levinson. Peraturan ini telah dijelaskan dalam bab 4. Justeru, dalam data rakaman ini kelihatan berlaku TPR, iaitu dalam petikan 5 di bawah ini :

Petikan 5

(28) A : hari ni berape hari bulan imah↑
(29) I : harinikan tige belas↓
(30) A : tige belas > tige belas malam duwa puloh empatlah<↑
Dalam Petikan 5 di atas ditunjukkan bahawa, TPR berlaku apabila informan A menanyakan soalan kepada informan I. Pertanyaan yang dikemukakan oleh A itu ialah hari ni berape hari bulan imah memerlukan informan I menjawab soalan tersebut. Dalam hal ini, informan A dan I telah mengikut peraturan 1 ambil giliran Levinson yang menyatakan bahawa jika C memilih N sebagai penutur semasa, C mesti berhenti bercakap. N mesti bercakap. Peralihan ini berlaku dalam TPR pertama selepas N dipilih.
Oleh itu, dalam perbualan informan terbabit, A telah memilih informan I untuk menjawab soalannya. Tambahan pula, A sendiri telah menyebut nama imah yang menjelaskan lagi bahawa informan I telah dipilih oleh informan A. Apabila informan A berhenti bercakap, maka informan I menjawab soalan tersebut dengan menyatakan harinikan tige belas. Keadaan dalam petikan 5 ini menunjukkan bahawa informan I telah menerima peruntukan giliran untuknya. Jadi, TPR tersebut menjadi penanda kepada perbualan mereka seterusnya.
Analisis Perbualan Berdasarkan Pandangan Mey (1993)
Mey (1993) memberi penekanan kepada dua aspek utama perbualan, iaitu topik dan gerak kerja perbualan. Tumpuan dalam kajian ini ialah topik perbualan dengan menganalisis dua ciri utama topik iaitu koheran .

Koheran
Menurut Yule (1996), koheran merupakan ujaran yang digunakan oleh penutur mempunyai kaitan dengan pengalaman seharian. Hal ini bermaksud, ujaran oleh penutur, diinterpretasikan oleh pendengar dengan mengaitkannya dengan pengalaman mereka. Berikut ialah contoh koheran yang terdapat dalam perbualan informan :

Petikan 7
(143) F : kite tanya pasal, ha :peluang pekerjaan untuk sektor untuk anak johorkan kat dalam sektor >pengajian tinggi< lepas tu diya cakap diya bagilah komen lepas tu kita tanya duwa lepas tu kita tanya pasal yang indonesia, kes indonesia malaysia yang yang diya nak ape ni yang baru↑ nikan
(144) S := yang kes amah buluh runcing
(145) F : =buluh runcing
(146) S : / tarian pandet tu::
(147) A : semua tulah duwa diya gabungkan lepas tu si muhyiddin kate diya kate apa tindakan pelajar u kan diya kata si tu kata hmmm sebenarnya benda tu tak besar sangat media yang memperbesar-besarkan jadi jadi ape
(148) B : jadi
(149) A : maksudnye orang orang yang tak berpendidikan dan banyak jugalah soalannye u: yang tak ada cuma upsi aje

Berdasarkan petikan 7 ini, didapati bahawa terdapat koheran dalam ujaran informan F. Koheran yang dimaksudkan ialah ujaran lepas tu kita tanya duwa lepas tu kita tanya pasal yang indonesia, kes indonesia malaysia. Ujaran tersebut, tidak menyatakan kes indonesia malaysia, tetapi telah dijawab oleh informan S dan F dengan ujaran (144) yang kes amah buluh runcing (145) buluh runcing dan (146) tarian pandet tu. Ujaran ini menunjukkan bahawa informan S dan D mempunyai pengetahuan tentang kes indonesia malaysia.
Ujaran yang dikemukakan oleh informan S dan F ini sebenarnya menunjukkan bahawa ujaran tersebut disebabkan oleh konteks. Konteks yang berlaku disebabkan oleh peristiwa ketegangan hubungan antara Malaysia dan Indonesia disebabkan oleh tarian pandit dan buluh runcing. Peristiwa tersebut telah mempengaruhi psikologi informan S dan F. Zaitol Azma Zainon Hamzah, menyatakan bahawa konteks yang dibina oleh penutur dalam analisis perbualan seprti petikan 7 ini merupakan konteks ujaran terdahulu dan menyediakan konteks ujaran seterusnya. Oleh itu, koheran yang menyebabkan perbualan tersebut berentetan.

Dapatan Kajian
Teori analisis perbualan berdasarkan Levinson (1983), dan Mey (1993) \ menunjukkan bahawa setiap ujaran dalam ciri perbualan telah menyebabkan perbualan dalam kalangan informan berterusan dan pelbagai rentetan peristiwa yang berlaku dalam perbualan tersebut. Oleh itu, dapatan kajian ini mendapati bahawa ciri-ciri tersebut menjadikan perbualan satu rentetan peristiwa disebabkan oleh konteks, ujaran dalam ambil giliran dan urutan perbualan.

Konteks
Berdasarkan kajian ini, ujaran oleh informan mempunyai konteks terdahulu konteks serentak. Informan mendapati perbualan yang berlaku pasti menggunakan konteks ujaran terdahulu dan menjadikannya berentetan dengan situasai sekarang. Konteks memainkan peranan penting dalam ujaran supaya pendengar dapat membuat interpretasi terhadap ujaran penutur semasa.
Pengkaji mendapati bahawa konteks dalam kalangan informan ini dibina melalui persekitaran yang dibina oleh informan secara psikologi. Jika hal yang dibualkan itu melibatkan akademik, maka persekitaran atau budaya yang paling hampir dengan mereka adalah di Universiti Sains Malaysia. Jelas mereka membina identiti sebagai warga kampus yang tersendiri.
Hal ini sama seperti yang dilakukan oleh Zaitul Azma Zainon Hamzah dalam mengesan makna ujaran kanak-kanak. Kanak-kanak menggunakan kampung untuk merujuk kepada kediaman di desa, kawasan yang dipenuhi oleh pohon-pohon. Penggunaan ‘kampung’ oleh kanak-kanak tersebut adalah disebabakan oleh konteks budaya mereka. Oleh itu, bahawa konteks dalam perbualan pelajar perempuan Melayu ini masih lagi dalam ruang lingkup budaya mereka di Universiti Sains Malaysia.
Ujaran mereka yang tidak melibatkan hal-hal akademik pula disebabkan oleh konteks ujaran terdahulu yang menunjukkan mereka berada di luar Universiti Sains Malaysia. Setiap ujaran terdahulu dihubungkaitkan dengan ujaran serentak. Hal ini bermakna dalam perbualan boleh dua konteks berlaku.
Berhubung dengan konteks inilah, maka didapati bahawa topik perbualan mereka tidak statik. Pelbagai peristiwa yang diceritakan oleh informan-informan tersebut. Topik perbualan inilah yang menjadikan peristiwa dalam perbualan berentetan tanpa dirancangkan oleh informan-informan tersebut.

Peruntukan Giliran Tidak Dirancang
Walaupun Levinson (1983) menyatakan bahawa dalam ambil giliran mempunyai peraturan dan peruntukan dalam giliran, tetapi secara tersiratnya hal ini tidak pernah dirancang. Data-data daripada kajian mendapati bahawa ambil giliran yang dibina oleh UBG dan TPR tidak dirancang secara khusus oleh informan. Setiap informan tidak mempunyai andaian atau set untuk memastikan bahawa siapakah yang sepatutnya bercakap dan siapa yang sepatutnya tidak bercakap.
Peruntukan dalam giliran ini menunjukkan bahawa dalam perbualan, setiap giliran tersebut diorganisasikan oleh ciri-ciri seperti pasangan berdampingan, urutan dan pilihan. Barangkali jika ciri-ciri tidak ada atau diketepikan kita tidak diperlihatkan giliran yang tidak dirancang ini berlaku. Jelas, perbualan merupakan aktiviti seharian yang mempunyai organisasi tanpa dirancang oleh sesiapa pun, namun tetap berlangsung.
Hal ini dipersetuji oleh Wouk dalam kajiannya tentang penanda ya dalam perbualan masyarakat Indonesia. Menurut beliau ujaran ya itu menjadi pembinaan paduan dalam perbualan masyarakat Indonesia. Masyarakat Indonesia tidak merancang untuk menggunakan ya dalam perbualan namun, penggunaan ini tanpa dirancang boleh membina kesepaduan. Penanda ya menjadi penanda untuk mengiayakan sesuatu dan menjadi perlanjutan dalam perbualan.

Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan di atas, jelas bahawa dalam perbualan peruntukan dalam ambil giliran oleh informan tersebut menunjukkan bahawa kedua-dua unit iaitu UBG dan TPR telah berlangsung. Hal ini menjadikan perbualan tersebut berlansung dan membuat topik yang dibincangkan itu berentetan. Selain itu, konteks memainkan peranan dalam menjadikan perbualan tersebut mempunyai rentetan peristiwa. Konteks terdahulu dan konteks ujaran semasa ditunjukkan dalam ujaran informan. Hal ini menyebabkan makna dan interpretasi ujaran diperlukan oleh informan-informan lain yang bertindak sebagai pendengar. Dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa perbualan mempunyai organisasinya tersendiri yang tidak pernah dirancang oleh informan terlibat. Organisasi ini dalam bentuk tersirat yang memperlihatkan informan semasa dan informan pilihan berbual dengan lancar dan mengetahui siapa yang berbuala dahulu, dan siapa yang berbual kemudian. Topik yang dibincangkan juga tidak dirancang sehingga dapat menunjukkan bahawa suatu perbualan mempunyai rentetan peristiwanya.



















Bibliografi
Buku
Asmah Hj. Omar. (2001). Kaedah Penyelidikan Bahasa Di Lapangan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Arpan Shahbudin Latip. (1998). Bahasa Melayu : Kesilapan Tatabahasa Satu Analisis. Shah Alam : Fajar Bakti.
Babbie, E. (2005). The Basics Of Social Research. Third Edition. Belmont : Thomson
Wadsworth.

Berg, B.L (2004). Qualitative Research Methods For The Social Science.Fifth Edition.
Boston : Pearson.

Gay, L.R, Mills, G.E dan Airasian, P. (2009). Education Research Competencies For Analysis And Applications. Ninth Edition. London : Pearson.
Have ten, P. (2007). Doing Conversation Analysis. Second Edition. Los Angeles : Sage Publications.
Kamus Dewan Edisi Ketiga. 2002. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Levinson, S. C. (1983). Pragmatics. Cambridge : Cambridge University Press.
Liddicoat, A.J. (2007). An Introduction To Conversation Analysis. London : Continuum.
Mey, J.L. (1993). Pragmatics An Introduction. Oxford : Blackwell.
Mukhlis Abu Bakar. (2002). Pengantar Sintaksis dan Semantik Bahasa Melayu. Singapura : Pustaka Nasional
Neuman, W.L. (2006). Social Research Methods Qualitative and Quantitative Approaches. Sixth Edition. Boston : Pearson..
Yule, G. 1996. Pragmatics. Oxford : Oxford University Press.
Zaitul Azma Zainon Hamzah. (2006). Memahami Pertuturan Kanak-kanak Melalui Analisis Pragmatik. Serdang : Universiti Putra Malaysia.

Jurnal Talian

Chevalier, G.H.F dan Clift, R. (2008). “Unfinished Turns in French Conversation Analysis : Projectability, Syntax And Action.” Journal Of Pragmatics 40 : 1731-1752. Sumber: Science Direct.
Haigh, N. (May 2005). “Everyday Conversation As A Context For Professional Learning And Development.” International Journal For Academic Development 10 (1) : 3-16. Sumber : EBSCO Host.
Holtgraves, T., Srull, T.K,dan Socall, D. (1989). “Conversation Memory : The Effect Of Speaker Status On Memory For Assertiveness Of Conversation Remaks.” Journal Of Personality And Social Psychology 56 (2) : 149-160. Sumber : EBSCO Host.
Mandelbaum, J. (1990/1991). “Beyond Mundane Reason : Conversation Analysis and Context.” Research on Language and Social Interaction 24:333-350. Sumber : EBSCO Host
Nor Shafrin Ahmad. (2007). “Mengenal Pasti Indikator Tingkah Laku Mangs Penderaan Seksual”. Jurnal Pendidik dan Pendidikan, 22, 107-125. http://www.usm.my/education/publication/JPP%20NSA%20ART%207%20
Wouk, F. (2001). “Solidarity in Indonesian Conversation : The Discourse marker ya*” Journal of Pragmatics 33 : 171-191. Sumber : Science Direct.
Zuraidah Mat Don Dan Knowles, G. (2006). “Prosody And Turn-Taking In Malay Broadcast Interviews.” Journal Of Pragmatics 38 : 490-512. Sumber : Science Direct.

1 ulasan:

  1. maaf. nak tanya siapa penulis dan dari universiti mana tahun berapa? sebab nak buat rujukan, thanks :)

    BalasPadam